Alexis Sanchez kembali bersama skuad Manchester United di Amerika Syarikat, namun gagal memberikan impak ketika terikat seri tanpa jaringan dalam aksi pra-musim menentang San Jose Earthquakes, awal pagi tadi.

Sanchez tidak dapat ke Amerika Syarikat bersama rakan sepasukannya sebelum ini ekoran sekatan terhadap permohonan visanya, membuatkan bintang Chile itu gagal menyertai pasukan dalam perlawanan pertama.

Jose Mourinho dilihat terdesak untuk menurunkan Sanchez walaupun lewat tiba kerana kebanyakan pemain utamanya masih dalam tempoh rehat susulan aksi Piala Dunia yang baru tamat dan United bakal memulakan aksi Liga Perdana Inggeris pada 10 Ogos depan menentang Leicester City.

Sanchez menyalakan harapan apabila membarisi pasukan dalam aksi di Santa Clara selepas tiba dari Manchester pada Jumaat lalu.

Dia dilihat lebih segar dan pulih selepas Chile gagal ke Piala Dunia, namun barisan pemain United tampak kebuntuan idea dalam merencana pergerakan walaupun memasuki aksi persahabatan kedua.

Anthony Martial, Ander Herrera, Eric Bailly, Antonio Valencia, Chris Smalling dan Luke Shaw turut bersama Sanchez dalam kesebelasan utama yang turut diperkuatkan oleh pemain muda, Tahith Chong, susulan aksi memukau ketika menentang America.

Sanchez memulakan perlawanan dengan baik, mendapatkan sepakan percuma dan menyempurnakan hantaran lintang untuk membuka ruang buat Eric Bailly pada minit keempat tetapi tandukan terbang pertahanan United itu terkena tiang gol.

Kapten pasukan, Antonio Valencia, terpaksa dibawa keluar tiga minit kemudian selepas mengalami kecederaan betis dan digantikan oleh benteng yang jarang mendapat tempat, Matteo Darmian.

Ketika aksi dilihat semakin perlahan, Sanchez hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma tetapi percubaannya sebelum rehat sedikit tersasar.

Valeri Qazaishvili memperoleh peluang buat Earthquakes di dalam kotak penalti tetapi tindakan bijak Timothy Fosu-Mensah menafikan mereka daripada meraih jaringan.

Tommy Thompson juga terlepas peluang apabila pemain tengah Amerika Syarikat itu melepaskan percubaan tetapi dinafikan oleh Lee Grant ketika permainan berbaki 20 minit sambil tiang menjadi penghalang mereka pada minit-minit akhir permainan.