Kegembiraan Cunha bertukar duka selepas Atletico seri dengan Levante

Muzaffar Musa
Oktober 28, 2021 23:54 MYT
LEVANTE 2 ATLETICO MADRID 2
Kegembiraan Matheus Cunha bertukar duka selepas momen jaringan pertamanya bersama Atletico Madrid dicemari dengan memori pahit membenarkan Levante memperoleh sepakan penalti saat-saat akhir sehingga terikat 2-2 dalam perlawanan LaLiga di Valencia awal pagi tadi.
Dalam penampilan pertamanya sejak tiba di kelab itu daripada Hertha Berlin dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai €30 juta (RM145.46 juta) pada Ogos lalu, Cunha kelihatan telah mejaringkan gol kemenangan pasukannya pada 14 minit terakhir di Estadio Ciutat de Valencia.
Bagaimanapun, ketika ketua jurulatih, Diego Simeone, terpaksa menyaksikan perlawanan itu daripada tempat duduk penonton susulan dilayangkan kad kuning kedua gara-gara pertelingkahannya dengan pegawai perlawanan, Cunha didapati menyentuh bola menggunakan tangannya selepas pengadil, Pablo Gonzalez Fuertes, menyemak rakaman menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Enis Bardhi, yang memadamkan jaringan pembukaan Antoine Griezmann dalam babak pertama, menyempurnakan sepakan penalti keduanya pada minit ke-90 untuk menafikan tiga mata buat pasukan juara bertahan itu.
Griezmann meletakkan Atletico di depan pada minit ke-12 melalui jaringan LaLiga pertamanya sejak kepulangannya ke kelab itu daripada Barcelona -- susulan hantaran lintang awalnya, dia kemudian menyepak masuk bola yang ditanduk Felipe ke gawang lawan.
Levante memberikan respons terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bardhi susulan insiden Luis Suarez mengasari Ruben Vezo.
Atletico akhirnya kembali berada di depan apabila pemain gantian, Rodrigo de Paul, melakukan hantaran ke arah Cunha -- yang baru empat minit menggantikan Griezmann -- untuk menewaskan penjaga gol, Aitor Fernandez.
Simeone tidak dapat mengawal perasaannya dan dilayangkan kad kuning kedua berikutan pertengkarannya dengan pegawai keempat dan Atletico jelas tidak dapat mempertahankan kelebihan mereka.
Gara-gara insiden bola terkena tangan Cunha, Bardhi dengan penuh yakin menyepak rendah ke arah penjuru kiri gawang Jan Oblak untuk memastikan pasukannya membawa pulang satu mata.
#bola sepak #Luis Suarez #Diego Simeone #Atletico Madrid #LaLiga #Levante