Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mampu menarik nafas lega selepas kedudukannya terselamat biarpun The Red Warriors kini dimiliki peneraju baharu sejak Khamis lalu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pemilik baru TRW, Norizam Tukiman, kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, bahawa dia masih memerlukan khidmat jurulatih tersebut itu tetapi tidak menjamin nasib sama kepada pemain.

"Pemain saya tidak janji, kalau boleh saya hendak semua pemain ditukarkan dengan yang baru tetapi mana-mana pemain yang betul-betul tunjukkan bahawa mereka bermain bola kerana kelab akan dikekalkan.

"Pemain kena ada hati, bookie datang pun dia boleh halau, fokus kepada bola sepak seperti mana Yusri Che Lah yang saya berani katakan sekarang bahawa dia akan kekal," katanya.

Sementara itu, ketika diwawancara dalam rancangan Bola@Mamak terbitan Astro Arena hari ini, Norizam mendedahkan tentang perancangannya untuk menyenaraikan TRW ke dalam bursa saham sebaik proses penswastaan pasukan itu selesai.

Dan berita baik buat rakyat Kelantan, mereka bakal jadi sebahagian daripada pemegang saham jaguh tiga kejuaraan 2012 itu.

"Saya nak ia disenaraikan dalam bursa saham, saya sudah rancang (untuk memperuntukkan) sebanyak 30 peratus saham (TRW) yang akan dicairkan kepada penyokong dan hanya pemegang kad pengenalan Kelantan sahaja dibenarkan membelinya, kemudian barulah kami beli selebihnya.

"Mereka boleh hadiri mesyuarat agung tahunan (AGM), mereka juga boleh tentukan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan jurulatih. "