Kedudukan Luciano Spalletti sebagai pengendali Inter Milan tidak tergugat walaupun pasukan bimbingannya itu gagal memenangi empat aksi terakhir, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Giuseppe Marotta.

Inter tewas 1-0 di tangan Bologna di laman sendiri Ahad lalu, sekali gus bermakna mereka gagal mencapai kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir Serie A, meletakkan mereka ketinggalan 11 mata di belakang pasukan tangga kedua, Napoli.

Mereka turut disingkirkan daripada saingan Piala Itali minggu lalu setelah tewas menerusi sepakan penalti di tangan Lazio selepas aksi di San Siro berakhir 1-1 dan persembahan buruk itu dilihat meningkatkan tekanan buat Spalletti.

Namun, Marotta menegaskan Spalletti tetap selamat walaupun mengingatkannya bahawa dia boleh kehilangan jawatan itu bila-bila masa sahaja.

"Terdapat perbincangan selepas aksi menentang Bologna tetapi ia sesuatu yang normal kami lakukan selepas perlawanan, tidak kira apa keputusan yang dicapai," kata Marotta.

"Kami melihat pasukan kini melalui tempoh sukar sehingga meningkatkan kekecewaan buat penyokong tetapi kedudukan Spalletti sangat selamat.

"Kami sedang melalui perubahan tempoh dalam musim ini, terdapat 16 baki perlawanan dan kami menduduki tangga ketiga.

"Benar, prestasi kami jauh merosot tetapi kami perlu yakin akan kekuatan kelab yang kompetitif, memiliki jurulatih yang bagus serta kelompok penyokong yang sentiasa memberikan sokongan."