Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, kemungkinan pemain penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe adalah "urusan untuk kelab".

Menurut laporan yang meluas, Real telah menawarkan EURO170 juta serta EURO10 juta sebagai tambahan untuk membawa pemain berusia 22 tahun itu ke Bernabeu.

Kontrak Mbappe masih berbaki setahun bersama PSG namun Ancelotti menegaskan bahawa dia bukan orang yang tepat untuk berbicara mengenai kemungkinan perpindahan pemain ketika ditanya mengenai hal itu menjelang pertembungan LaLiga Real dengan Real Betis.

"Ia adalah urusan kelab, saya memahami kelab meminati pemain tersebut, tetapi saya tidak boleh bercakap panjang," katanya. "Sekiranya saya mengatakan bahawa Mbappe adalah pemain yang hebat, saya mengatakan yang sebenarnya. Saya berusaha mendapatkan kualiti terbaik dalam skuad saya.

"Pasukan saya cukup berkualiti, saya fokus dengan pemain yang ada terlebih dahulu. Mereka masih mampu dapat bersaing dengan semua pasukan terbaik dunia.

"Saya gembira dengan skuad tetapi jika ia bertambah baik, maka lebih baik untuk semua orang."