Penolong ketua jurulatih Kedah, Azzmi Aziz, mengesahkan penyerang kontroversi dari Brazil, Pablo Rangel, akan mengetuai jentera serangan Lang Merah menentang pendatang baru, MISC-MIFA dalam saingan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Katanya, kehadiran Rangel yang juga bekas penyerang kelab Nakhon Ratchasima dalam Liga Thailand, diharap mampu memantapkan lagi jentera serangan Kedah bagi memburu kemenangan berganda ke atas skuad K. Devan itu selepas menang 3-2 di Alor Star minggu lalu.

"Kami akan turunkan Rangel dan harap sebagai pemain profesional, dia hargai peluang yang diberikan ini.

"Moga dia terus tajam di depan gawang lawan untuk membantu Kedah layak ke suku akhir," katanya.

Bagaimanapun, pemain sayap kiri lincah kelahiran Indonesia, Andik Vermansyah, gagal pulih sepenuhnya dan tidak dapat beraksi membantu pasukan.

"Berita kurang baik apabila Andik terpaksa diketepikan akibat kecederaan tetapi saya harap pengganti yang bakal diturunkan mampu memberikan yang terbaik untuk kami terus memburu kemenangan," katanya.

Ditanya kekalahan 1-0 Kelantan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) malam tadi memberi kelebihan kepada pasukannya, Azzami enggan mengulas, sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh terhadap prestasi Hijau Kuning.

"Sebenarnya, saya enggan (malas) untuk fikirkan pasukan lain (menang atau kalah). Saya hanya fikirkan pasukan Kedah dan bagaimanana untuk layak peringkat seterusnya dalam Piala Malaysia," katanya.

Rangel, yang juga bekas pemenang Kasut Emas Luga Super 2014, dikatakan 'besar kepala' dan mula menimbulkan masalah dalam skuad Hijau Kuning melalui beberapa tindakannya yang dianggap kurang profesional.

Untuk rekod, Kedah menduduki tangga keempat Kumpulan C dengan empat mata hasil satu kemenangan dan seri sekali manakala MISC-MIFA berada di tangga kedua dengan enam mata.