Demi persediaan menjelang saingan Piala AFC, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC menuju ke depan tanpa mahu terikat dengan keadaan semasa.

Seiring dengan penetapan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang hanya membenarkan latihat berpusat, kedua-dua pasukan tersebut sudahpun membuka langkah paling awal.

Stadium mini Baling bakal jadi 'Istana Takeshi' buat pasukan Hijau Kuning sehingga 6 Jun.

Jika arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PK) ini bersambung, maka Baling akan terus menjadi persinggahan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sehingga tempoh baru ditetapkan.

Sesi latihan bakal bermula esok dan Aidil memiliki perancangan tersendiri untuk skuadnya yang perlu bersedia bukan hanya melibatkan saingan Liga Malaysia tetapi juga saingan Piala AFC.

"Kami harus memahami usaha pihak pengurusan yang berusaha bagi menyediakan tempat untuk pasukan membuat persiapan. Situasi semasa harus dialami semua pihak dan kami akan cuba sebaik mungkin dalam setiap aspek persiapan menghadapi Piala AFC," kata Aidil.

Manakala Terengganu pula sudahpun memasuki hari kedua untuk sesi latihan berpusat.

Segalanya bermula dengan lancar dengan memilih kem pengakap di Teluk Ketapang sebagai kem yang turtu mengumpulkan skuad Terengganu FC II.

Tegas pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, persediaan itu amat penting untuk melihat kedua-dua pasukan memandangkan, persediaan melibatkan dua kejohanan penting, dan sebarang perubahan pemain perlu penilaian setara.

"Tumpuan kami adalah saingan Piala AFC, kami sedang menilai kemampuan pasukan lawan dan perkara paling penting adalah beraksi di padang tiruan di Singapura, kami akan cuba menyesuaikan diri beraksi di atas permukaan padang itu," kata Nafuzi.