Kedah sekat kebangkitan Pahang, JDT sekadar menang tipis

Muzaffar Musa
November 6, 2020 15:27 MYT
Kedah menyekat kebangkitan Pahang selepas menang 3-2 dalam pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Tiga gol yang memihak skuad Lang Merah itu dalam separuh masa pertama -- hasil sentuhan Shakir Hamzah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche -- bagaimanapun mencetus debar menerusi kebangkitan yang cuba dilakar Pahang dalam babak berikutnya.
Kedah membuka jaringan awal selepas Shakir menanduk masuk bola sepakan sudut ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar, pada minit ke-17.
Sembilan minit sebelum ke bilik persalinan, gawang Pahang yang dikawal penjaga gol veteran, Helmi Eliza Elias, bocor lagi gara-gara tandukan Sherman susulan hantaran lintang Kipre.
Dan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu selesa membimbing permainan dengan kelebihan tiga gol pada minit ke-44 hasil rembatan dari sudut sukar yang dilepaskan Kipre.
Pahang, bagaimanapun, membuktikan bahawa mereka bukan calang-calang pasukan dengan kebangkitan yang cuba dilakarkan dalam 45 minit kedua.
Ia bermula dengan jaringan pemain pertahanan, Muslim Ahmad, yang menanduk masuk bola sepakan percuma Azam Azih selepas empat minit perlawanan bersambung.
Namun, Dickson Nwakaeme gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79 selepas Adam Reed dijatuhkan Renan Alves.
Usaha skuad Tok Gajah itu berterusan dan berhasil merapatkan kedudukan pada minit ke-88 apabila Faizal Rani melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol, Azri Ab Ghani, tetapi masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Kedah ke suku akhir.
Dalam satu lagi perlawanan, Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekadar menang tipis 1-0 ke atas pendatang baru Piala Malaysia, Kuching FA, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
JDT, yang menurunkan hampir keseluruhan skuad terkuat mereka, hanya berhasil memperoleh jaringan yang disumbangkan pemain berusia 18 tahun, Arif Aiman, pada minit ke-19, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

KEPUTUSAN MASA PENUH TM PIALA MALAYSIA - PUSINGAN PERTAMA Tahniah Pulau Pinang, Johor Darul Ta’zim dan Kedah yang layak ke peringkat suku akhir! ? #TMPialaMalaysia2020

Posted by Malaysian Football League on Friday, 6 November 2020
#Piala Malaysia #Kuching FA #Kedah FA #Pahang FA #Johor Darul Ta'zim FC