KEDAH 1 FELDA UNITED 0

Kedah memperoleh kelebihan tipis dalam separuh akhir pertama Piala FA selepas menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.


Fernando Rodriguez menjaringkan gol sepakan penalti pada minit ke-69 selepas skuad Lang Merah itu seakan-akan buntu untuk menewaskan benteng terakhir Felda United, Norazlan Razali.

Bermain di atas permukaan basah ekoran hujan lebat di Alor Setar sejak petang tadi jelas merencatkan pergerakan kedua-dua pasukan.

Walaupun mendominasi bahagian tengah, Kedah yang diketuai Baddrol Bakhtiar dan pemain import baru dari Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt, dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan yang kerap kali terlepas peluang berharga di depan gawang lawan.

Jonatan Bauman gagal memanfaatkan peluang terbuka pada minit kelima apabila melakukan tandukan yang tersasar sebelum rembatan kaki kiri Hidhir Idris melambung tinggi berselang enam minit.

Felda United turut sekali-sekala menguji keampuhan benteng tuan rumah, terutama menerusi percubaan bintang import dari Jepun, Kei Ikeda, namun tiada sebarang jaringan dihasilkan sepanjang babak pertama.

Dalam babak kedua, Baddrol memperoleh peluang awal untuk membuka jaringan, namun sepakan percuma yang diambilnya pada minit ke-50 ditepis keluar oleh Norazlan.

Jasazrin Jamaludin turut memperoleh peluang sama buat Felda United tiga minit kemudian, malangnya sepakan percumanya gagal menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim.

Usaha berterusan Kedah akhirnya membuahkan hasil apabila bekas bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, ditolak jatuh dalam kawasan penalti sebelum Rodriguez tidak mensia-siakan peluang itu untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan buntu menghasilkan jaringan untuk Kedah memperoleh kelebihan tipis menjelang aksi kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad depan.