Kedah berdepan tugas sukar bertemu Sri Pahang

Sinar Harian
Mac 31, 2023 08:44 MYT
Kedah Darul Aman (KDA) FC turun dengan misi sukar untuk mengutip tiga mata bertemu Sri Pahang FC pada aksi keenam Liga Super 2023 di Stadium Darul Makmur pada malam Sabtu.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, persiapan rapi dilakukan bagi memberikan saingan sengit kepada kualiti barisan pemain Tok Gajah yang dilihat semakin baik pada musim ini selepas belum tewas dalam lima perlawanan liga super.
"Kita ke sana memanglah matlamat nak menang di tempat lawan untuk dapatkan tiga mata tapi kita tahu bukan tugas yang senang. Untuk jadi pasukan yang kuat dan bagus, kita kena lalui (perlawanan sukar).
"Pahang sekarang tidak pernah kalah lagi di peringkat liga musim ini dan rekodnya mencatatkan keputusan seri dengan pasukan yang berada di kelompok atas seperti Selangor dan Sabah," katanya mengulas aksi bertemu skuad kendalian Fandi Ahmad itu di Kuantan pada malam Sabtu.
Jelas Nafuzi, kesilapan mudah yang dilakukan sebelum ini perlu dielakkan oleh Sang Kenari semasa bertemu pasukan tuan rumah jika mahu keluar sebagai pemenang pada perlawanan tersebut.

Sesi latihan terakhir Sang Kenari di Alor Setar semalam sebelum bertolak ke Kuantan hari ini. Esok aksi LS6 menentang tuan rumah Sri Pahang FC. PULUN KEDAH PULUN! ? LS 6 | Liga Super 2023 ? Sri Pahang FC ? 1 April 2023, Sabtu ? 10.00 malam ?️ Stadium Darul Makmur pic.twitter.com/veyiYo2vMd

— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) March 31, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bagaimanapun keserasian pemain KDA FC dilihat semakin baik selepas mengharungi lima perlawanan liga dan beliau mahu pasukan terus fokus dengan falsafah permainan yang diterapkan.
"Kalau kita fokus dengan cara kita. Saya rasa dengan sesiapa saja pun kita boleh bersaing. Jadi kita kena cuba elakkan kesilapan mudah (seperti yang dilakukan sebelum ini)," ujar beliau lagi.
Tambahnya, KDA FC yang kini berada di tangga ketiga liga super selepas lima perlawanan dilihat berada di landasan tepat dan semua pemain perlu memastikan momentum pasukan sentiasa berada pada tahap baik.
"Tiga mata penting, saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, yang penting itu sahaja. Kalau penyerang menjaringkan gol tapi kita tewas tidak ada gunanya juga," katanya juga apabila mengulas tentang prestasi penyerang-penyerangnya seperti Lira Willian dan Balotelli yang dilihat masih belum terbukti sebagai mesin gol Sang Kenari setakat ini.
kredit: Sinar Harian
#liga super #Kedah Darul Aman #DemiLigaKita