Kedah Darul Aman FC bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Perak FC 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Ipoh sebentar tadi.

Jaringan Kpah Sherman dalam separuh masa kedua memadamkan gol pembukaan Guilherme De Paula biarpun pasukan tuan rumah itu kelihatan lebih menguasai permainan.

Perak bermula baik apabila pemain naturalisasi negara, De Paula, terlebih dahulu menguji gawang Kedah tetapi tandukannya, susulan hantaran lintang J. Partiban, berakhir ke dakapan penjaga gol, Shahril Sa'ari, pada minit kesembilan.

Pada minit ke-22, giliran pemain import perak, Careca, menguji gawang pelawat menerusi percubaan jarak jauhnya, namun Shahril sekali lagi tenang menyelamatkan keadaan.

Kedah akhirnya melakukan percubaan tepat pertama menerusi Tchetche Kipre, yang menanduk bola hantaran lintang Azamuddin Akil pada minit ke-25, tetapi ia masih belum cukup untuk menggugat keampuhan benteng terakhir Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Perak meneruskan dominasi mereka dalam babak kedua dengan De Paula terus memberikan ancaman tetapi percubaannya hasil gerakan awal Careca sedikit melewati palang gol pada minit ke-49

Dan usaha tanpa henti itu akhirnya membuahkan hasil apabila De Paula memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang Kedah untuk menanduk masuk hantaran lintang Careca pada minit ke-58.

Kedah, bagaimanapun, enggan pulang dengan tangan kosong apabila hantaran bijak daripada Kipre ditolak ke dalam gawang oleh Sherman bagi menewaskan Hafizul Hakim.

Seminit berselang, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, hampir memberikan tiga mata buat Lang Merah tetapi percubaan jarak jauhnya sekadar menggegar tiang gol lawan untuk kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan pungutan satu mata.

? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS9 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Saturday, 17 April 2021



Keputusan lain
Liga Super:
Sabah 4-0 UiTM FC

Liga Perdana:
Terengganu II 4-3 Johor Darul Ta'zim II
Projek FAM-MSN 0-3 Kelantan United