Kedah Darul Aman FC menebus kekecewaan sebelum ini dengan meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Ia merupakan perlawanan tertunda di antara kedua-dua pasukan dalam Kedah dalam misi untuk mengelak daripada terus kemarau kemenangan di laman sendiri.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi Tchetche Kipre sebelum Baddrol Bakhtiar menggandakan jaringan enam minit kemudian.

Permainan cemerlang Kedah terus membuahkan hasil apabila Kipre meledak jaringan ketiga buat Kedah sebelum David Rowley mengurangkan defisit jaringan buat pasukan pelawat.

Rentak permainan pantas terus dipamerkan Kedah dalam separuh masa kedua, serangan demi serangan yang dilancarkan akhirnya disempurnakan menerusi jaringan Kpah Sherman pada minit ke-55.

Skuad bimbingan Thomas Trucha berusaha bagi mendapatkan jaringan namun gagal membuahkan hasil.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kedah di tempat keempat dengan mengumpul 29 mata.