Kedah Darul Aman memperoleh kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut di lakar anak buah Aidil Sharin Sahak selepas menewaskan Penang FC 1-0 dan Melaka United 3-0.

Lebih manis, kemenangan ini berjaya melunaskan 'dendam' kekalahan 1-4 ke atas The Red Giants pada April lalu.

kedah memperoleh permulaan yang cemerlang apabila Ronald Ngah membuka jaringan pada minit ke-22 sebelum Marc Vales menggandakan kelebihan tuan rumah lapan minit kemudian.

Skuad kendalian Nidzam Jamil yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Sabah, mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-33 hasil tampanan Caion sekaligus menghidupkan harapan kebangkitan pelawat.

Deretan usaha yang dilakukan Selangor dalam separuh masa kedua gagal diterjemahkan kepada jaringan, deretan peluang demi peluang dibazirkan sebelum Kedah memastikan tiga mata di laman sendiri -- jaringan ketiga Kedah disempurnakan Fayadh Zulkifli Amin melengkapkan kemenangan Kedah pada masa kecederaan.

Di Kuala Terengganu, Terengganu FC bangkit daripada kekecewaan final Piala FA susulan memperoleh kemenangan ke atas Penang FC 3-0.

Jaringan terhasil menerusi Faisal Halim sementara Tchetche Kipre menjaringkan dua gol dalam kedua-dua separuh masa.