Pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari, menegaskan perlawanan menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam esok perlu dimanfaatkan skuad Lang Merah untuk kembali merapatkan kedudukan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kedah kini ketinggalan enam mata di belakang JDT dengan kelebihan baki satu perlawanan dan hanya dipisahkan satu mata dengan Pahang yang berada di tempat kedua.

Berpeluang memintas skuad Tok Gajah seandainya misi tiga mata penuh berjaya direalisasikan, Khairul Helmi juga mengakui kemenangan ke atas PKNS mampu menghambat kedudukan JDT di persada liga.

"Untuk perlawanan malam esok, kami perlu mengutip tiga mata, lebih-lebih lagi selepas Pahang tewas (3-2) di tangan Kelantan. Jadi, ini adalah peluang kami untuk menduduki kelompok dua teratas liga," katanya.

Khairul Helmi, bagaimanapun, mengakui misi menewaskan PKNS di laman lawan bukan tugas mudah setelah diikat 1-1 ketika pertemuan kedua-dua pasukan di Alor Setar, 8 April lalu.

"Saya menjangkakan saingan yang sengit, apatah lagi PKNS dibarisi pemain yang berpengalaman. Setiap perlawanan dalam Liga Super sememangnya tidak boleh diambil mudah," tambahnya.

Skuad Hijau Kuning dijangka menampilkan kesebelasan terbaik bertemu PKNS kecuali Rizal Ghazali yang masih tidak boleh diturunkan gara-gara digantung perlawanan.