Radamel Falcao berlatih bersama Monaco menjelang pertemuan dengan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), namun Leonardo Jardim tidak dapat memberi kepastian sama ada penyerang itu cergas untuk diturunkan.

Pemain kebangsaan Colombia itu mengalami kecederaan pinggul ketika menewaskan Bordeaux 2-1, Sabtu lalu.

Penyerang itu, yang seakan-akan sudah kembali ke tahap terbaiknya selepas gagal cemerlang bersama Manchester United dan Chelsea, menjaringkan 24 gol dalam 31 penampilan sepanjang musim ini.

Dua daripada jaringannya ketika Monaco tewas 5-3 kepada City dalam aksi pertama pusingan kalah mati di Stadium Etihad, Falcao berkemungkinan terlepas aksi di Stade Louis II, awal pagi esok.

"Radamel Falcao semakin pulih tetapi saya tidak dapat memberi pengesahan bahawa dia akan beraksi," kata Jardim.

"Kami akan terus memantau keadaannya.

Tidak kira Falcao dapat beraksi atau pun tidak, pengurus Monaco itu menjangkakan pesta gol daripada kedua-dua pasukan dalam perlawanan ini.

"Saya berasakan kedua-dua pasukan akan melancarkan serangan. Kami akan cuba menjaringkan gol kerana kami memerlukan dua gol untuk ke pusingan seterusnya."