Thiago Alcantara mengalami kecederaan ketika bertemu Besiktas, namun pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes, menyifatkannya tidak serius.

Dalam aksi timbal-balik Liga Juara-Juara di Stadium Vodafone, pemain tengah Sepanyol itu membuka tirai jaringan dalam pertemuan yang berakhir dengan kemenangan 3-1 buat Bayern, sekali gus menempah tiket suku akhir.

Bagaimanapun, Thiago yang hanya melakukan sembilan penampilan dalam Bundesliga susulan episod kecederaan yang berlarutan musim ini, terpaksa dibawa keluar sebelum menuju rehat.

Heynckes, yang mencipta rekod baru dengan 11 kemenangan berturut-turut dalam kejohanan, mengesahkan bahawa tindakan membawa keluar Thiago adalah langkah berjaga-jaga.

"Thiago memberi isyarat bahawa dia berdepan kesakitan dengan tapak kakinya.

"Kami harus menunggu sehingga kecederaan itu disahkan tetapi saya tidak rasa ia serius," katanya.

Sementara itu, Thiago menggunakan media sosial sebagai medium untuknya menjelaskan bahawa dia tidak akan berehat lama.

"Amat lega melihat dua daripada kelompok penyokong terbaik dari stadium yang sama. Sesuatu yang hebat," katanya melalui Twitter.

Kemenangan di Turki menyaksikan Bayern meraih kemenangan agregat 8-1, sekali gus memberi semangat buat mereka tatkala kemenangan pada hujung minggu ini akan membolehkan mereka mempertahankan kejuaraan Bundesliga secara mutlak.

Heynckes juga gembira melihat anak-anak buahnya mendominasi permainan walaupun telah memiliki kelebihan 5-0.

"Jika anda saksikan kedua-dua perlawanan, kami mara dengan penuh keyakinan. Besiktas tidak pernah kalah di laman sendiri, jadi mereka tentunya pasukan yang kuat. Sukar untuk menang di sini."