Pengendali skuad Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Sulaiman Hussin, pening mencari pengganti setelah tiga tonggak utamanya ditimpa kecederaan sejurus tamat aksi pembukaan saingan Liga Perdana, Ahad lalu.

UKM bermula dengan baik apabila menumbangkan Perlis 2-1 di laman sendiri, namun terpaksa membayar dengan harga yang mahal setelah penjaring gol, Faiz Haniff Adnan, mengalami kecederaan hamstring bersama Haris Fazrin dan pemain pertahanan, Alexander Tudor.

Ia situasi yang cukup sukar buat UKM memandangkan mereka bakal bertandang ke Pasir Gudang menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II, hujung minggu ini.

Ketiga-tiga pemain itu terpaksa diketepikan selama dua minggu untuk proses pemulihan.

"Saya berharap tiada lagi kecederaan dialami dalam aksi akan datang. Saingan yang panjang memerlukan barisan pemain pada tahap terbaik," katanya.

Sulaiman juga mendedahkan persiapan pra-musim yang kurang juga mungkin boleh menjurus kepada situasi dihadapi dalam pasukannya kini.

UKM hanya sempat membuat persiapan pra-musim selama empat minggu berbanding pasukan lain yang melakukannya selama enam hingga lapan minggu.

"Seperti apa yang saya maklumkan, kekurangan latihan sewaktu persiapan pra-musim, ia telah mengundang risiko kecederaan dan ia dapat disaksikan dalam aksi pertama kami."