Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengharapkan tempoh 48 jam selepas latihan hari pertama hari ini dapat memberi khabar gembira buat pasukannya apabila dia berdepan kemungkinan kehilangan jeneral tengah, Nor Azam Azih, ekoran kecederaan.

Cheng Hoe menerima tamparan apabila beberapa pemain melaporkan diri ke kem latihan hari pertama dengan membawa kecederaan.

Pemain yang dimaksudkan adalah Nor Azam, Danial Amier Norhisham, Norshahrul Idlan Talaha, J. Partiban dan Halim Saari.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali yang dialami Nor Azam mencetus kebimbangan utama tatkala dia menjadi pertaruhan penting Cheng Hoe di bahagian tengah ketika aksi menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Sebagai persediaan awal, bekas pengendali Kedah itu memanggil tonggak Sabah, Azzizan Nordin, untuk menyertai sesi latihan pusat esok.

"Kami masih harapkan Nor Azam ada dalam pasukan kerana telah terbukti dia bermain dengan begitu baik dalam aksi sebelum ini. Sudah tentu kami menunggu keputusan daripada pasukan perubatan," ujar Cheng Hoe.

Dalam masa sama, kelibat pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak, mencuri tumpuan selepas dia kembali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya.

"Bagi saya dan rakan sepasukan, kami berbesar hati dia sanggup membantu pasukan untuk kali ini," kata bek tengah negara, Shahrul Saad.