BRAZIL 2 QATAR 0

Persiapan Brazil menghadapi Copa America diteruskan dengan kemenangan 2-0 ke atas Qatar tetapi Neymar dikhuatiri mengalami kecederaan serius.


Dua jaringan dalam separuh masa pertama daripada Richarlison dan Gabriel Jesus membantu Brazil mengatasi juara Piala Asia, Qatar, dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kebimbangan hadir buat Brazil selepas masalah kecergasan Neymar bersama Paris Saint-Germain (PSG) berulang apabila dia kelihatan mengalami kecederaan kaki pada minit ke-21.

Qatar berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-96 selepas pengadil menghukum kesilapan Ederson, namun sepakan penalti itu gagal disempurnakan Boualem Khoukhi.

Ia merupakan separuh masa pertama yang rancak di Brasilia, dengan dua jaringan diledak, penalti yang ditarik semula selepas dinilai VAR sementara menyaksikan Neymar menitiskan air mata di padang.

Qatar meraih tujuh kemenangan berturut-turut sebelum aksi persahabatan itu tetapi pasukan undangan Copa America itu gagal bersaing dengan Brazil yang mendahului permainan pada minit ke-16.

Dani Alves melakukan hantaran mencari Richarlison yang menanduk masuk gol melepasi penjaga gol, Saad Al-Sheeb.

Neymar, bagaimanapun, terpaksa dikeluarkan padang lima minit kemudian dan digantikan oleh Everton.

Ketiadaan Neymar tidak merencatkan persembahan Brazil apabila mereka menggandakan jaringan lapan minit kemudian menerusi penyerang City, Jesus.

Philippe Coutinho berpeluang menjadikan kedudukan 3-0, namun pengadil perlawanan menarik balik keputusan sepakan penalti selepas dinilai VAR.