Alex Oxlade-Chamberlain "benar-benar berasa hancur remuk" kerana terpaksa melupakan kempen Piala Dunia Russia sambil memberi sokongan kepada Liverpool dan England untuk berjuang dengan baik sepanjang ketiadaannya.

Pemain tengah Liverpool itu memainkan peranan dalam kemenangan 5-2 dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang AS Roma semalam, namun kemudian disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut.

Oxlade-Chamberlain, yang ditandatangani dari Arsenal tahun lalu, bakal terlepas baki aksi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara selain pusingan akhir Piala Dunia, begitupun dia berusaha untuk tetap positif sebelum berehat panjang.

"Kecederaan ini benar-benar meremukkan hati saya pada masa yang sangat penting musim ini," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Twitter.

"Saya kecewa. Saya tidak akan dapat memainkan peranan penting dalam Liga Juara-Juara untuk Liverpool dan juga Piala Dunia bersama England.

"Bagaimanapun, saya akan memberi sokongan kepada rakan sepasukan. Saya tahu kami mempunyai kemampuan untuk melakukan sesuatu yang istimewa dalam kejohanan ini, saya akan memberikan segala yang diperlukan untuk memastikan saya kembali secepat mungkin," tambahnya.