Arsenal telah mendedahkan pemain tengah Granit Xhaka telah diketepikan selama sekitar tiga bulan setelah mengalami kecederaan ligamen lutut ketika bertemu Tottenham hujung minggu lalu.

Pemain kebangsaan Switzerland itu kembali dalam kesebelasan utama Arsenal bagi derby London Utara selepas digantung tiga perlawanan namun terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-82.

Xhaka secara tidak sengaja berlanggar dengan Lucas Moura ketika The Gunners menang 3-1 di Stadium Emirates selepas pemain kebangsaan Brazil itu diberikan tekanan oleh Thomas Partey sebelumnya.

Arsenal kini telah mengesahkan bahawa, walaupun Xhaka tidak memerlukan pembedahan namun kecederaannya cukup serius sehingga berpotensi memaksa dia diketepikan sehinggan tamat tahun 2021.

"Selepas mengalami kecederaan bertemu Tottenham, penilaian dan imbasan telah mengesahkan Granit Xhaka mengalami kecederaan yang ketara pada ligamen lutut," menurut kenyataan kelab.

"Perundingan pakar dilakukan di London pada Selasa malam, yang telah menentukan bahawa Granit tidak memerlukan pembedahan.

"Program pemulihan Granit akan dimulai dengan segera, dan kami menyasarkan agar dia kembali beraksi dalam masa tiga bulan.

"Semua orang di kelab sekarang akan menyokong dan bekerja keras dengan Granit untuk membawanya kembali ke lapangan secepat mungkin."