Rasa perit tetap luar biasa meskipun sudah dua kali mengalami kecederaan ligamen lutut, begitulah realiti buat pemain tengah Selangor FC, Halim Saari, yang sah boleh melupakan musim 2021 selepas hampir tiga bulan mengalami kecederaan tersebut.

Tanggal 9 Mac 2021 dikenang sebagai hari malang buat Selangor yang mengalami kekalahan sulung musim ini apabila tewas 3-1 di tangan Terengganu FC.

Tetapi lebih mendukacitakan, saat Halim rebah di padang memegang lutut kananya.

"Saya sebelum ini pernah mengalami kecederaan yang sama pada tahun 2013 dan selepas mengalami kecederaan ketika bertemu Terengganu, saya mengetahui ia adalah kecederaan yang sama," kata Halim.

Bagi Halim, yang baru berusia 26 tahun, pengalaman kecederaan sebelum ini akan dimanfaat sebaik-baiknya ketika pemulihan.

Meskipun ada penyokong Selangor yang merindui kelibatnya, Halim menegaskan The Red Giants beruapaya bangkit dengan pemain sedia ada untuk baki kempen musim ini.

"Selangor masih lagi memiliki ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan yang saya tinggalkan, buat masa ini, proses pemulihan mengambil masa sehingga sembilan bulan sebelum boleh kembali beraksi," katanya lagi.