Unai Emery percaya kecederaan buku lali yang dialami Alexandre Lacazette ketika pertemuan Piala Emirates dengan Lyon yang berakhir kekalahan, tidak serius.

Arsenal tewas 2-1 di laman sendiri di tangan kelab Ligue 1 itu walaupun meraih pendahuluan menerusi Pierre-Emerick Aubameyang tatkala Moussa Dembele menjaringkan kedua-dua gol pelawat.

Selepas jaringan pertama, Arsenal kehilangan bekas bintang Lyon, Lacazette, pada minit ke-13 akibat hentakan yang diterima.

Walaupun dia tidak menunjukkan kesakitan yang teruk sewaktu berlari meninggalkan padang, Lacazette tampak menggunakan kasut pelindung pada kaki kirinya selepas perlawanan dan berjalan secara tempang.

Penyerang itu akan diperiksa oleh staf perubatan dalam masa beberapa hari tetapi Emery yakin Lacazette tidak akan memerlukan tempoh rehat yang lama.

"Doktor memberitahu saya dia akan diperiksa hari ini," katanya.

"Dia akan dipantau selama beberapa hari, ia tidak serius."

Pemain yang dijangka tiba daripada Lille, Nicolas Pepe, mampu memberikan kekuatan tambahan buat Arsenal selepas pemain sayap itu bakal melengkapkan perpindahan bernilai GBP72 juta (RM367 juta).

Emery menolak untuk mengesahkan laporan itu walaupun dia tidak menyembunyikan minat terhadap pemain Ivory Coast itu.

"Kelab memikirkan bagaimana untuk kami meningkat," tambahnya.

"Terdapat pemain yang sedang dibincangkan. Pepe adalah pemain bagus. Kami mahu pemain yang benar-benar boleh meningkatkan skuad. Kami mahu pemain terbaik untuk perlawanan pertama menentang Newcastle United, 11 Ogos ini."