Pertahanan Juventus, Merih Demiral, tersisih 10 hari apabila terus dibelenggu kecederaan.

Tonggak Turki itu dikeluarkan pada minit ke-69 ketika menang 3-0 ke atas Dynamo Kiev dalam Liga Juara-Juara (UCL), kelmarin, selepas terpinggir dalam dua perlawanan akibat kecederaan ringan yang dialaminya ketika berdepan Cagliari pada 21 November lalu.

Gergasi Itali itu menerusi laman sesawang mengesahkan Demiral mengalami masalah di bahagian paha kanannya.

Lantas, pemain berumur 22 tahun itu akan terlepas perlawanan 'derby' menentang Torino termasuk kunjungan ke Barcelona bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan UCL.




Juve, yang menghuni tangga keempat Serie A selepas sembilan perlawanan juga akan berhitung dengan Genoa, Atalanta, Parma dan Fiorentina sebelum hujung tahun ini.

Demiral menjadi nadi pertahanan tengah sebanyak sembilan kali oleh pengurus, Andrea Pirlo, termasuk lima permulaan dalam Serie A yang menyaksikan kelab gergasi Itali itu mencatat dua kemenangan dan tiga seri.

Dia melengkapkan purata 61.31 peratus hantaran dalam setiap perlawanan berbanding 68.91 peratus oleh Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini (80.06) sementara Matthijs de Ligt (82.5).

Demiralm bagaimanapun, menyerlah ketika membabitkan perebutan bola di udara disusuli Bonucci dan Danil.

Bonucci akan membuat kemunculan semula ketika berdepan Kiev minggu depan selepas dihimpit kecederaan paha sementara Chiellini belum dapat diturunkan sejak awal bulan lalu, justeru De Ligt menjadi sandaran utama sepanjang ketiadaan mereka.