Kehadiran semula pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, ke pangkuan skuad Sang Badak musim ini sepatutnya menghadirkan kelegaan, namun apa yang berlaku bukanlah seperti diharapkan.

Cerina sebelum ini terpaksa direhatkan pada pertengahan musim lalu akibat kecederaan walaupun masih memiliki kontrak sehingga penghujung musim ini.

Selepas musim 2017 tamat, pemain berusia 29 tahun itu kembali ke Kota Kinabalu untuk menyertai semula kem latihan pasukan, bagaimanapun dia sehingga kini masih dibelenggu kecederaan.

Difahamkan, Cerina bukanlah pemain yang berada dalam perancangan ketua jurulatih, Jelius Ating, musim ini, namun pemain itu terpaksa dimasukkan dalam senarai kerana masih memiliki kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Sehingga saat ini, Cerina masih bergelut untuk cergas sepenuhnya daripada kecederaan, malah dia juga terpaksa disisihkan dalam semua aksi pra-musim Sang Badak.

Difahamkan juga, Cerina masih turun ke padang bersama-sama rakan sepasukannya, namun agak jarang menyertai latihan sebenar.

"Agak sukar untuk saya komen, pihak pengurusan telah menjaga dia (Igor) dengan baik, malah membayar gajinya ketika dia direhatkan sejak pertengahan musim lalu.

"Sepatutnya, dia kembali ke pangkuan pasukan dengan semangat baru bagi membalas kepercayaan yang diberi pihak pengurusan tapi apa yang berlaku, dia terus dibelenggu kecederaan dan yang terbaru, dia dinasihatkan untuk berehat tiga minggu lagi," kata Jelius ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Jelius berkata dia bukanlah mahu mempertikaikan kecederaan yang dialami Cerina, cuma berasakan ia satu kerugian buat pasukan.

"Kami sepatutnya beraksi dengan empat pemain import, sama seperti kebanyakan pasukan lain, tapi kini kami kehilangan seorang...ia satu kerugian.

"Saya masih ragu-ragu sama ada dia boleh beraksi atau tidak sehingga habis pusingan pertama (Liga Perdana) nanti.

"Ini sudah pasti menjadi satu masalah bagi kami tapi saya tidak mahu fikirkannya lagi. Kami perlu fokus dengan saingan liga yang akan bermula Jumaat ini," katanya lagi.