Sebelum kemunculan Trent Alexander-Arnold, nama bekas pemain Manchester City, Micah Richards pernah dicanang sebagai bek kanan utama England pada suatu masa dahulu.

Namun, masalah kecederaan yang menyaksikannya melalui lima pembedahan lutut jelas membataskan potensi Richards.

Beliau sekadar meraih satu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2012 dan Piala FA pada 2011 bersama City.

Pemain kelahiran Birmingham ini melakukan 179 penampilan buat City dari 2005 hingga 2015, dipinjamkan semusim bersama Fiorentina pada 2014/15 sebelum bersama Aston Villa dari 2015-2019 yang menyaksikannya bersara pada usia 31 tahun.

“Setiap kali selepas menjalani pembedahan, saya dapati sukar melompat lebih tinggi dan juga berlari lebih pantas.

“Kerana saya menghadapi masalah dengan lutut, ia juga memberi kesan kepada hamstring saya.

“Ya jika saya mengendalikan kecederaan dengan lebih baik, mungkin saya mampu beraksi dengan lebih lama, “kata Richards dalam siaran terkini Man on The Street (MOTS) yang akan disiarkan pada 21 Mei ini, 9 malam di saluran Astro Supersport 3 (CH813 HD).

MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang mengenai pelbagai topik.

Richards bagaimana pun tidak menyalahkan pegawai perubatan yang merawatnya di atas kegagalan untuk pulih dengan baik.

Sebaliknya dia akui, sikapnya yang terlalu mahu cepat kembali beraksi juga menjadi antara punca kecederaannya gagal pulih dengan lebih baik.

Di sebalik masalah kecederaannya, Richards tetap berupaya meraih 13 cap antarabangsa England dan turut beraksi bersama Great Britain pada temasya Sukan Olimpik London 2012.

Selepas menamatkan kerjaya profesional tahun lalu, Richards kini bertugas sebagai salah seorang pengulas bersama Sky Sports.

“Saya seronok menjadi pengulas kini kerana apabila menamatkan kerjaya, pilihan terbaik adalah sama ada menjadi pengulas atau jurulatih untuk terus terbabit dengan bola sepak.

“Ia juga menarik kerana saya akan bergandingan dengan Roy Keane dan Jamie Carragher, dan sudah pasti kami banyak berdebat ketika siaran,” kata Richards.

Ketika bersama City, Richards berpeluang beraksi bersama beberapa pemain hebat dan baginya, David Silva adalah yang terbaik.

“Silva seorang pemain yang cukup konsisten dan sepanjang beraksi dengannya, tiada perlawanan dia akan beraksi hambar.

“Tetapi terdapat pemain lain yang juga hebat yang pernah saya bermain bersama seperti Sergio Aguero, seorang pemain yang sentiasa menyinar di perlawanan besar.

“Vincent Kompany juga luar biasa di bahagian benteng, dia hanya dibeli dengan harga 6 juta pound tetapi nilainya pasti lebih tinggi dengan prestasi luar biasa ketika dengan City,” tambah Richards.

Richards juga seorang yang mesra dengan peminat dan dalam siaran MOTS yang akan disiarkan pada 21 Mei ini, dia turut menawarkan seorang peminat tempatan, Christopher Long, peluang menyaksikan aksi City di Stadium Etihad sebaik saja saingan EPL kembali bersambung selepas tertangguh kerana pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.