ARSENAL 3 TOTTENHAM 1

Pierre-Emerick Aubameyang menganggap pemain muda Arsenal mempunyai kebebasan permainan, lantas memacu kejayaan 'derby' utara London 3-1 ke atas Tottenham.


Emile Smith Rowe mempamerkan aksi bertenaga ketika dia menyumbat gol pembukaan Arsenal sebelum terbabit dalam gerakan jaringan Aubameyang untuk menggandakan kelebihan mereka di Stadium Emirates, malam tadi.

Di bawah terik separuh masa pertama, Bukayo Saka berjaya menjadikannya 3-0 buat pasukan yang dikemudi Mikel Arteta itu selepas memanfaatkan kesilapan Harry Kane pada minit ke-34.

Gol Heung-min sudah terlewat untuk kebangkitan Spurs selain satu percubaannya terkena palang dan skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu memang wajar tumpas untuk kekalahan ketiga berturut-turut.

Tottenham muncul pasukan kedua dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) yang memenangi tiga perlawanan pertama musim ini, kemudian tewas dalam tiga perlawanan berikutnya selepas Everton mencatatkannya pada 1993-94.

"Ini membawa makna segalanya. Ini bermaksud dunia buat kami. Hari ini kami mencurahkan segalanya demi mereka. Peminat telah memberikan kami segalanya. Mereka mendorong kami. Ini satu perasaan yang luar biasa, sukar dipercayai," kata kapten Arsenal itu kepada Sky Sports, ketika bercakap tentang rakan sepasukannya, Smith Rowe.



Ketika ditanya apakah dia menawarkan bimbingan kepada pemain muda, Aubameyang berkata: "Mereka ini hebat, mereka baik-baik saja dan saya gembira mereka membesar (di London) dan suatu hari mungkin boleh jadi seperti Smith Rowe.

"Cukup mudah apabila mempunyai pemain muda seperti ini, yang selalu mendengar dan bersedia untuk belajar. Oleh itu, saya ada cuba memberikan mereka nasihat.

"Yang paling penting adalah mereka berasa bebas ketika beraksi. Inilah yang mereka lakukan hari ini. Mereka melakukan sesuatu yang luar biasa."

Smith Rowe mencipta dua peluang dan meledak gol dalam satu-satunya percubaan ke arah pintu gol ketika menonjolkan satu persembahan yang sangat mempesonakan. Dengan menerima lorongan daripada Saka, duo itu sudah lima kali saling mencipta bantuan jaringan dalam EPL.

Di antara pemain berusia 21 tahun atau lebih muda, Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney (lapan) pernah membentuk gandingan berbisa sebegitu.

"Saya selalu bermimpikan hari ini, untuk menjaringkan gol buat Arsenal ketika menentang Tottenham. Untuk beraksi di depan keluarga, ia adalah satu perasaan terbaik yang pernah wujud," kata Smith Rowe sebelum menjelaskan pengaruh Arteta.

"Dia hanya memberitahu kami agar kekal tenang. Kami adalah pemain muda dalam satu perlawanan besar.

"Dia hanya meniupkan semangat kami dan memberikan kami keyakinan yang tinggi.

"Bukan setakat pengurus malah pemain dalam pasukan juga, mereka memberi kami begitu banyak keyakinan."