INTER 3 TORINO 1

Diego Godin berkata Inter belum mahu berputus asa dalam pemburuan trofi Scudetto apabila terus berusaha untuk menghambat pendahulu Serie A, Juventus, menerusi kemenangan 3-1 ke atas Torino.


Inter mengatasi kesilapan Samir Handanovic untuk memintas Lazio di kedudukan kedua dengan saingan berbaki enam perlawanan.

Andrea Belotti memanfaatkan peluang menarik untuk gol pembukaan pada minit ke-17 setelah penjaga gol Inter, Handanovic, gagal mengeluarkan bola dengan baik yang singgah di kaki bintang Torino tersebut dalam pertembungan di San Siro itu -- secara tidak langsung menganggu rentak permainan anak buah Antonio Conte berkenaan.

Bagaimanapun, Inter -- beraksi tanpa Romelu Lukaku -- bangkit mempamerkan gerakan tersusun dalam separuh masa kedua untuk mencetak gol menerusi Ashley Young, Godin dan Lautaro Martinez, yang mengakhiri kemarau jaringannya dalam lima perlawanan.

Inter ketinggalan lapan mata di belakang juara bertahan itu selepas menjaringkan gol pertamanya bersama Nerazzurri, pertahanan veteran, Godin, memberitahu Sky Sport Italia: "Tatkala kami di kedudukan yang sukar, adalah penting untuk menang dengan apa cara sekalipun.

"Kami memulakan perlawanan ini tidak seperti yang diharapkan. Kami tidak akan menoleh ke belakang dan berasa kesal. Sebaliknya, kami akan belajar daripadanya dan membuat kritikan yang sihat terhadap diri sendiri.

"Kami berpeluang untuk meraih tempat kedua dan kami akan melakukan segalanya untuk mempertahankan kedudukan ini. Buat masa ini, kami harus memikirkan cara untuk menang dalam setiap perlawanan selain menghambat Juventus.

"Kami akan fokus kepada satu persatu perlawanan dan selepas itu melihat di mana kedudukan kami."



Godin bergelut untuk menempatkan diri dalam strategi tiga pertahanan yang diterapkan Conte sejak dipancing daripada kelab LaLiga, Atletico Madrid, menerusi perpindahan percuma pada awal musim.

Prestasi tonggak Uruguay itu menggambarkan dia mungkin akan meninggalkan Inter pada akhir kempen ini.

Bagaimanapun, Godin berkata: "Saya berasa baik di tahap positif. Saya berasa bagus di Verona dan malam ini. Saya cuba membantu pasukan setiap kali diminta pengurus.

"Saya datang ke mari untuk membantu pasukan di atas dan di luar padang. Saya selalu membawa mentaliti kemenangan ke mana sahaja saya pergi menerusi kemampuan untuk bekerja keras setiap hari dengan sikap yang positif.

"Saya telah mengikat kontrak selama tiga tahun: Saya mahu kekal di sini dan melakukan perkara hebat bersama Inter."