Ia seakan-akan aneh untuk menggambarkan detik apabila Manchester City hampir saja meranapkan impian juaranya.

Cemas, tenggelam punca dan tertekan ketika ketinggalan, ia jelas bukan ciri-ciri yang diketahui daripada The Citizens selama beberapa musim ini.

Namun, kesudahannya ia terlakar sebagai detik terhebat buat pengurus, Pep Guardiola. Dan di sebalik segala bola sepak menakjubkan, dominasi yang membawa kepada empat kejuaraan EPL dalam lima musim, kali ini ia benar-benar berbeza.

Seperti disimpulkan oleh Sky Sports, ia suatu magis yang barangkali didambakan Guardiola sendiri sewaktu pasukannya suatu ketika sudah pun berada di rahang kekalahan.

Ia mengimbau kenangan kepada keputusan saat-saat akhir 3-2 ke atas Queens Park Rangers – ketika kejuaraan dirasakan sudah pun terlepas – di stadium yang sama genap satu dekad lalu.

Tidak syak lagi, kemenangan 3-2 ke atas Aston Villa awal pagi tadi, yang mengesahkan City selaku juara, akan terpahat dalam sejarah sebagai antara kebangkitan paling dramatik, yang akan sentiasa disorot dan diulang tayang.



Pesaing terdekat, Liverpool, yang bersaing sebelum sepak mulanya dengan Wolves di Anfield dengan berbezakan cuma satu mata, kesudahannya turut dikerah menerima hakikat perit yang segala-galanya sudah terlambat buat mereka di sebalik mengukir kemenangan 3-1.

75 minit lamanya City seakan-akan sebuah pasukan yang terlalu asing untuk tontonan – berterabur dalam hantaran-hantarannya dan terlalu gemuruh dalam peri lakunya.

Ketinggalan 0-2 kepada Villa kendalian Steven Gerrard ketika aksi hanya berbaki 15 minit, entah bagaimana City menghasilkan tiga gol dalam jarak lima minit untuk ia mengaut habuan kejuaraan EPL keempat dalam lima musim.

Pemain gantian, Ilkay Gundogan, memainkan peranan pemusnah laksana Sergio Aguero pada penghujung musim 2011/12, dengan gol berkembar (m-76, 81) di antara jaringan Rodri (m-78) bagi memadam kelebihan lawan daripada gol Matty Cash (m-37) dan Philippe Coutinho (m-69).

Sedekad lalu, City ketinggalan 1-2 kepada QPR menuju ke masa kecederaan apabila “keajaiban” menyaksikan gol-gol Edin Dzeko dan Aguero memuktamadkan kejuaraan sulung memintas seteru terdekat, Manchester United, hanya dengan perbezaan jaringan.

Dan awal pagi tadi, kejuaraan keenam dimenangi menerusi “detik-detik gila” yang hampir serupa.

Gerrard, legenda Liverpool di zaman kegemilangannya selaku pemain, harus berasa telah melaksanakan tanggungjawabnya apabila Villa kendaliannya membuka pendahuluan 2-0 selama 75 minit.

Cuma bezanya City tidak pernah kenal erti mengalah – sekurang-kurangnya dalam saingan domestik – sehinggalah Gundogan mengerah segala kudrat untuk membawa pasukannya ke zon selamat.

Ini juga mungkin pencapaian terhebat Guardiola untuk meraih kejuaraan berturut-turut tanpa seorang penyerang sebenar sejak Aguero meninggalkan pasukan.

Secara taktikal, City mengharungi detik-detik cemas sepanjang 45 minit pertama dan sebahagian babak kedua, dengan John Stones di bek kanan bergelut sambil Fernandinho di bek tengah berhempas-pulas menangani Ollie Watkins.



Jika kesebelasan permulaannya pincang, Guardiola harus lebih tepat dalam melakukan penggantian. Pengenalan OIeksandr Zinchenko selepas rehat untuk Stones beralih ke bek tengah segera mententeramkan keadaan.

Gara-garanya, kelancaran pergerakan City bertambah baik, dengan Raheem Sterling mula menghadirkan perbezaan tapi kemasukan Gundogan yang dilihat pada penghujungnya sebagai ‘kartu’ yang mendatangkan sentuhan pemusnah.

Barangkali Guardiola tidak selalu mendapati percaturannya tepat tapi kali ini ia mengangkatnya selaku pakar taktikal dengan sentuhan kemenangan pada detik ia sangat-sangat diperlukan.