Pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini, sedia menerima sebarang tawaran lumayan untuk beraksi dalam Liga Super China.

Fellaini masih lagi mempunyai kontrak setahun bersama United selepas pengendali pasukan, Jose Mourinho, mahu dia terus beraksi bersama pasukan tersebut.

Pemain berusia 29 tahun itu menegaskan dia sedang memberikan tumpuan kepadaUnited tetapi tidak menolak sebarang tawaran untuk ke China.

"Beraksi di China? Mengapa tidak?" kata Fellaini

"Buat masa ini, saya adalah pemain Manchester United tetapi saya tidak menolak sebarang tawaran ke sana di masa akan datang."

Fellaini memuji Mourinho yang menamatkan saingan musim pertamanya dengan tiga trofi selepas meninggalkan Chelsea dan dia yakin akan diberikan lebih banyak peluang beraksi pada musim hadapan.

Bekas pemain Everton itu telah membuat 28 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat musim 2016-17.

"Beliau tahu bagaimana untuk menggunakan kebolehan saya dan saya beraksi di mana yang beliau inginkan.

"Pada permulaan musim, saya beraksi sebagai pemain nombor 6, kemudian nombor 8 dan 10.

"Beliau amat memahami kualiti yang saya miliki. Jika saya diturunkan, saya akan memberikan yang terbaik."

Fellaini sedang bersama skuad Belgium untuk berhadapan Republik Czech dan Estonia.