JUVENTUS 3 NAPOLI 1

Gonzalo Higuain memuji nasihat Massimiliano Allegri pada separuh masa meningkatkan semangat Juventus untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Napoli dalam aksi separuh akhir pertama Coppa Italia.

Juve bergelut pada awal permainan selepas Jose Callejon menyempurnakan gerakan Napoli untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-36.

Bagaimanapun, juara bertahan itu bangkit dalam babak kedua perlawanan, dengan Paulo Dybala meledak dua gol menerusi sepakan penalti dan Higuain berjaya mencetak satu gol ke atas bekas pasukannya.

Higuain menyifatkan kata-kata Allegri telah membangkitkan The Old Lady untuk melakar kemenangan.

"Ia merupakan perlawanan yang rumit berdepan Napoli," kata Higuain.

"Kami bergelut untuk mendapatkan rentak permainan pada 45 minit pertama. Jurulatih telah memberikan kata-kata semangat dan berjaya meningkatkan semangat pasukan.

"Ini adalah kekuatan yang dimiliki Juventus, fokus kepada permainan dan terus mencari peluang. Ia merupakan kemenangan yang penting dan kami akan ke Naples untuk mendapatkan keputusan yang positif."