Indraputra Mahyuddin antara generasi terakhir era kegemilangan Perak yang masih lagi ligat beraksi dalam kancah Liga Perdana.

Menjelang aksi penutup Liga Super musim ini, carta penjaring terbanyak kini diterajui Shahrel Fikri Md Fauzi daripada Perak yang merakamkan 10 gol sambil dicabar dua pemain import, Ifedayo Olusegun (Selangor) dengan sembilan gol manakala Dominique Da Silva (Terengganu) bersandarkan lapan jaringan.

"Pilihan saya terletak kepada Shahrel Fikri dan Ifedayo.

"Mereka beraksi cemerlang dan sering menghasilkan gol dalam setiap perlawanan.

"Tetapi saya pilih Shahrel Fikri dan kalau dia dapat kekalkan prestasinya, dia akan berjaya," kata pemain yang telah meledak lebih 100 gol dalam kancah utama itu.

⚽️ PENJARING TERBANYAK CIMB LIGA SUPER ?⚽️ Sepuluh gol dijaringkan oleh penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi setakat...

Posted by Malaysian Football League on Monday, October 5, 2020


Indraputra melakukannya pada 16 tahun lalu iaitu pada 2004 apabila dinobatkan selaku pemenang pertama anugerah kasut emas Liga Super dengan 15 gol ketika mewakili Pahang sedangkan ketika itu terdapat ramai tonggak import berbahaya yang mewarnai Liga Malaysia (Liga-M), misalnya Frank Seator (Perak), Gustavo Fuestes (Public Bank) dan Vyacheslav Melnikof (Pulau Pinang).

"Masa itu dengan ada seperjuangan dalam pasukan yang ditunjangi pemain-pemain hebat dan mereka membantu saya untuk mendapatkan jaringan, itu yang membuatkan saya mampu bersaing dengan pemain Import.

"Saya mengatasi Frank Seator dengan kelebihan satu gol," katanya ketika dihubungi.

Sejak pemain import kembali dibenarkan dalam Liga-M 2012, kelibat pemain tempatan semakin suram dan Indraputra tidak menolak pendekatan sesebuah pasukan itu sendiri menyempitkan lagi peluang penggempur negara.

"Ketika ini banyak pasukan menumpukan perhatian kepada pemain import manakala pemain tempatan kurang beraksi lalu membuatkan mereka kurang menyinar," kata pemain berusia 39 tahun itu yang bercadang untuk bersara dua tahun lagi.