Bekas pertahanan Arsenal, Sol Campbell, meminta The Gunners menawarkannya peluang untuk dia menyelesaikan masalah di bawah pengurusan Mikel Arteta.

Kekalahan 0-2 kepada Chelsea, semalam, bermakna Arsenal membuka musim ini dengan dua kekalahan dan tanpa sebarang gol dalam dua perlawanan buat julung kalinya dalam sejarah mereka.

Buat kali pertamanya mereka berada di zon penyingkiran selepas lebih daripada satu perlawanan sejak Ogos 1992.

Arteta tewas 20 daripada 60 perlawanan liga yang dikendalikannya untuk menyamai jumlah kekalahan yang dialami Arsene Wenger dalam 116 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), lantas tekanan semakin meningkat terhadap bekas pembantu jurulatih Manchester City itu.

Pasukan London itu akan berdepan West Brom dalam perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi Khamis ini sebelum berdepan juara bertahan, Manchester City, Sabtu ini menjelang rehat antarabangsa.

Keputusan buruk selanjutnya bakal meletakkan Arteta di kedudukan yang membimbangkan memandangkan dia telah diperuntukan £130 juta (RM753j) dalam jendela perpindahan ini.

Campbell, dua kali menjuarai EPL bersama Arsenal termasuk musim kebal menjulang trofi liga pada 2003-04, menjelaskan masalah yang tercetus dalam kekalahan Chelsea adalah sangat mudah.

"Sukar menonton aksi Arsenal pada masa ini, sangat sukar," kata bekas pengurus Macclesfield Town dan Southend United itu kepada talkSPORT.

"Ia hanya mengenai usaha dan kualiti. Ya, mereka telah menghabiskan banyak wang, paling tinggi di England pada masa ini tetapi gagal pamerkan kualiti, ketekalan dan pengalaman.





"Mereka selalu mencari pemain berpotensi, ia sesuatu yang bagus tetapi kadang-kadang anda mahukan jaminan kejayaan serta-merta.

"Ini adalah sebuah pasukan yang sangat muda, anda harus ingat bahawa mereka kekurangan pengalaman -- inilah asasnya!

"Beberapa pemain perlu melakukan perkara-perkara asas. Anda boleh kalah tetapi cara mereka melepaskan beberapa gol terlalu mudah. ​​Bahkan beberapa pertahanan memberi reaksi tidak saling menyokong dan gagal menghidu situasi bahaya.

"Gol pertama dibolosi ketika bola sudah melepasi jarak enam ela -- pemain perlu turun dan bertahan. Jangan tunggu saja! Ia semudah bertahan secara A, B, C. Mereka boleh membenarkan jaringan cantik Chelsea tetapi bukanlah gol semudah itu. Ini terlalu mudah.

"Jurang bakat dan pengalaman memang terserlah. Anda tidak boleh hilang aspek ini. Chelsea mempunyai begitu banyak waktu dan ruang. Mereka satu tahap di atas."

Tambahnya sambil tertawa: "Saya ingin memberitahu anda, saya mahu menolong mereka. Beri saya tugasan ini dan saya akan membantu mereka!

"Saya akan memberitahu anda bagaimana untuk keluar daripada tekanan dua pemain lawan seperti ketika menentang Brentford! Maksud saya, apa yang berlaku di sana?

"Menyorot kepada kekalahan 0-2 (minggu lalu itu). Tekanan daripada dua pemain lawan cukup mudah untuk dihadapi! Tugas anda menjadi lebih mudah kerana pemain tengah yang memberi tekanan itu harus berlari sejauh 10 atau 15 ela, kemudian ia memberikan anda lebih banyak ruang di bahagian tengah. Ia cukup mudah! "