Karim Benzema menegaskan bahawa Real Madrid tidak terlalu bergantung kepada sentuhan pemusnahnya ketika pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu bersiap sedia untuk menghadapi Inter dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Madrid memulakan kempen Eropah mereka itu dengan melakukan rombongan ke San Siro di sebalik reputasi sekadar memenangi satu daripada lapan perlawanan di tempat lawan untuk berhitung dengan Inter.

Benzema yang akan melakukan penampilan ke-17 UCL berturut-turut hanya memerlukan satu gol lagi untuk mengatasi pencapaian Raul sebagai penjaring terbanyak keempat dalam kejohanan itu.

Namun, ketika ditanyakan adakah dia dibebani tugas besar untuk menggempur pintu gol lawan, dia sebaliknya memilih untuk fokus kepada dinamik Los Blancos.

"Real Madrid adalah pasukan yang sangat mantap," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Apa yang perlu saya lakukan ialah berusaha membantu pasukan saya dengan menghulurkan bantuan dan gol. Kami harus memenangi sesuatu dan ia mengenai usaha kolektif.

"UCL adalah satu pertandingan yang berbeza dan kami mesti berusaha melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan.

"Ini adalah kejohanan yang paling penting. Ada pasukan pilihan tetapi sesuatu yang berbeza sering berlaku di lapangan, kami memiliki sebuah pasukan yang bagus dan kami akan berjuang untuk memenangi UCL."




Benzema juga menolak cadangan bahawa tiga penyerang serangkai yang baru dibentuknya di samping Eden Hazard dan Vinicius Junior mampu mengulangi tahap digeruni seperti ketika dia bersama Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo.

"Saya tidak tahu, kami telah mencapai banyak perkara bersama dan ia akan kekal di dalam lipatan sejarah," katanya.

"Vinicius Junior adalah seorang pemain yang hebat, dia telah berkembang dan pada awal musim LaLiga ini dia kerap mencetak gol. Saya sering berada di sisinya, bercakap dengannya dan menasihatinya kerana dia adalah pemain handalan.

"Sekarang, mari kita memikirkan hari ini, tentang menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini."