Karim Benzema dalam keraguan bertemu Inter

Shaiful Shamsudin
Disember 5, 2021 00:12 MYT
REAL MADRID 2 REAL SOCIEDAD 0
Penyerang Real Madrid, Karim Benzema, dalam keraguan untuk pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan juara Itali, Inter, Rabu depan tetapi mungkin cergas untuk perlawanan 'derby' dengan Atletico Madrid.
Tonggak Perancis itu terhincut-hincut pada minit ke-17 ketika Madrid menang 2-0 ke atas Real Sociedad, awal pagi tadi, sambil tangannya mencengkam hamstring sebelum digantikan oleh Luka Jovic.
Ketika ditanya mengenai situasi kecederaan Benzema, Carlo Ancelotti menganggap anak buahnya itu tidak akan sempat cergas untuk menentang Inter di Santiago Bernabeu.
Madrid telah pun layak ke fasa kalah mati UCL tetapi perlu mengelak kekalahan untuk mara sebagai juara Kumpulan D.
Tugas itu akan menjadi lebih sukar tanpa Benzema yang mendahului kempen Laliga dengan 12 gol dan tujuh bantuan jaringan selain telah meledak lima gol di peringkat Eropah.
Pasukan asuhan Ancelotti itu juga bakal menjadi tuan rumah kepada seteru setempat merangkap juara bertahan, Atletico, yang ketinggalan 10 mata, hujung minggu depan.
"Keadaan Benzema nampaknya tidak serius. Tetapi saya tidak fikir dia akan sedia untuk diturunkan pada Selasa (awal pagi Rabu)," kata pengurus dari Itali itu dalam sidang media.
"Karim berdepan masalah, ia sedikit mengganggunya dan saya tidak fikir dia akan beraksi selepas ini tetapi untuk Ahad, mungkin."

10 - @realmadriden are the first team with different players to score 10+ goals in the top five European leagues this season: Karim Benzema ?? (12) and Vinícius Júnior ?? (10). Duo. pic.twitter.com/hGLrll9qhe

— OptaJose (@OptaJose) December 4, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pertahanan Madrid, Eder Militao, mematahkan 10 serangan Sociedad (sembilan menerusi tandukan) -- jumlah terbanyak yang dilakukan oleh seorang pemain Los Blancos pada musim ini.
Ancelotti memuji gandingannya bersama David Alaba yang menggunakan pengalamannnya untuk membentuk persefahaman hebat di antara mereka.
“Kualiti kedua-duanya luar biasa,” katanya.
"Mereka berbeza. Militao sangat kuat, luar biasa, dan Alaba pula menyesuaikan diri dengan baik. Mereka memahami di antara satu sama lain dengan baik dan saling melengkapi dengan baik."
#Real Madrid #LaLiga