Bekas penyerang Kedah, Zaquan Adha Abdul Radzak, menganggap kariernya belum berakhir walaupun mengakui sukar untuk mendapatkan pasukan musim depan.

Bekas kapten Harimau Malaya itu percaya faktor usia bukan halangan untuk kekal beraksi dalam Liga Malaysia.

Hasil perjumpaan pemain berusia 35 tahun itu bersama pengurusan pasukan Kedah menyaksikan dia tiada dalam perancangan untuk musim 2021.

Akur dengan keputusan itu, Zaquan percaya skuad Kedah yang memiliki semangat berpasukan tinggi mampu melakar kejutan dalam penampilan dalam Piala AFC kelak.

Bagaimanapun, dia ketika ini sedang mengadakan perbincangan bersama pasukan di Lembah Klang namun ia bukanlah berbentuk tawaran.

"Ia merupakan satu cabaran yang agak sukar dalam situasi Covid-19 ini, pemain tempatan amat sukar untuk mendapatkan pasukan dan kami mengetahui bukan mudah untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama," kata Zaquan.

"Buat masa ini, belum masa buat saya bersara dan saya berharap untuk terus bersaing dalam saingan Liga Malaysia."

Zaquan membuktikan khidmatnya masih relevan untuk diguna pakai, selepas menjadi bekas kapten pasukan kebangsaan yang membawa pasukannya ke final Piala Suzuki AFF 2018.