Karanka diberi kepercayaan kemudi Forest

Penulis Jemputan
Januari 9, 2018 03:50 MYT
Selepas menyingkirkan Arsenal dalam saingan Piala FA kelmarin, Nottingham Forest melantik bekas pengurus Middlesbrough, Aitor Karanka, sebagai pengurus baru mereka.
Forest mengejutkan The Gunners dalam kemenangan 4-2 di City Ground di bawah bimbingan pengurus sementara, Gary Brazil, yang berpisah dengan Mark Warburton bulan lalu.
Karanka, yang mengetuai Boro dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2015-16, bersetuju dengan kontrak selama dua setengah tahun yang ditawarkan juara Eropah dua kali itu, untuk mengambil alih pasukan yang berada di kedudukan ke-14 dalam Liga Kejuaraan.
"Kami amat berbesar hati mencapai kata sepakat dengan Aitor Karanka untuk menjadi pengurus Nottingham Forest," kata pengerusi, Nicholas Randall, dari Sepanyol, yang meninggalkan Stadion Riverside pada Mac lalu selepas kelab yang berpangkalan di Teessider itu hanya bertahan selama semusim dalam EPL.
"Dia adalah seorang calon luar biasa yang mewakili visi pemilik dan ahli lembaga kelab terhadap masa depan kelab ini.
"Saya ingin berterima kasih kepada Gary Brazil, kakitangan dan pemainnya terhadap profesionalisme dan kesetiaan mereka selama beberapa hari lalu, khususnya ketika cemerlang bertemu Arsenal. Ia menunjukkan potensi kelab hebat ini," katanya.
Forest akan melawat Hull City dalam pusingan Piala FA yang seterusnya. Tugas pertama Karanka adalah perlawanan dengan Aston Villa di City Ground, Sabtu ini.