Kapten Australia, Mile Jedinak, telah menarik diri daripada skuad Piala Konfederasi kerana berhempas-pulas dengan masalah pangkal paha.

Jedinak mengalami kecederaan itu pada beberapa bulan terakhir musim ini bersama Aston Villa dan akan diganti pemain Sturm Graz, James Jeggo.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu menamatkan 90 minit dalam kemenangan 3-2 ke atas Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia minggu lalu tetapi mengalami rasa tidak selesa selepas itu.

Bos Australia, Ange Postecoglou, dan Jedinak mengambil keputusan bahawa dia perlu menarik diri daripada jadual perlawanan akan datang pasukan kebangsaan, yang bermula dengan aksi persahabatan menentang Brazil, hari ini.

"Kehilangan Jedinak adalah satu tamparan kerana dia bukan sahaja seorang pemain penting di bahagian tengah tetapi seorang pemimpin yang hebat dalam kalangan pemain," kata Postecoglou.

"Dia mempunyai tempoh yang sukar sejak Krismas dan kami semua bersetuju dia perlu berehat demi kepentingan jangka panjang terbaik Jedinak dan skuad Socceroos.

"Dia akan berehat bagi memastikan dia sudah bersedia untuk musim hadapan dengan kelab dan apa juga yang penting, 12 bulan untuk pasukan kebangsaan, bermula dengan pusingan kelayakan pada Ogos dan September."

Jedinak menambah: "Saya kecewa kerana terlepas Piala Konfederasi kerana ia adalah sesuatu yang kami nantikan dan berusaha ke arahnya sejak kami memenangi Piala Asia.

"Tetapi kami mempunyai beberapa perlawanan penting dalam tempoh 12 bulan akan datang menuju ke Piala Dunia, yang memerlukan saya cergas."

Australia memulakan kempen Piala Konfederasi menentang Jerman di Sochi Selasa depan sebelum menghadapi perlawanan Kumpulan B menentang Cameroon dan Chile.