Jurulatih Perlis, Manja Man, mengakui skuad Singa Utara kini berdepan masalah kewangan yang meruncing sehingga menyebabkan motivasi pasukannya pudar lalu diaibkan 3-0 oleh UiTM FC dalam pusingan kedua Piala FA di Shah Alam, malam tadi.

Meskipun sekadar beraksi dalam saingan Piala FAM, skuad Perlis tetap dipalit dengan isu kewangan.

Antara lain, dakwaan di laman media sosial yang mengatakan kantung pasukan itu hanya mempunyai RM1 juta bagi mengharungi musim ini.

"Kalau nak dibandingkan dengan pasukan negeri atau kelab lain, rasanya kalau Perlis mempunyai sumber kewangan yang kukuh, mungkin (situasi) berbeza.

"Cuma, kami berharap ada individu atau syarikat yang sanggup membantu bagi meredakan ketegangan yang dialami pasukan," kata bekas pertahanan kental Kedah, Manja Man.

Difahamkan, pemain Perlis masih belum menerima bayaran gaji sejak Januari lalu.

Sementara itu, kecederaan pergelangan kaki yang ditanggung jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, tidak menjejaskan tumpuannya untuk memastikan kemaraan mudah buat UiTM ke pusingan ketiga Piala FA.

Dalam aksi itu, penyerang import, Dao Bakary, muncul wira apabila meledak dua gol manakala satu jaringan lagi disumbangkan pemain gantian, Asnan Awal Hashim.

"Selepas kami menjaringkan gol kedua, baru nampak pasukan saya bermain dengan tenang.

"Jadi, saya harap dapat memperbaiki lagi kesilapan kami dan diundi menentang lawan yang lebih mudah dalam pusingan seterusnya," katanya.