N'Golo Kante menegaskan bahawa Perancis akan meningkatkan dan memperbaiki persembahan mereka berbanding prestasi awal dalam kempen Piala Dunia Russia.

Perancis melepasi Kumpulan C dengan tujuh mata dan hanya dibolosi sekali, namun skuad yang sarat dengan bintang itu memperagakan rentak terumbang-ambing dalam tiga perlawanan terawal.

Satu perlawanan tanpa jaringan dengan Denmark -- satu-satunya perlawanan yang buntu tanpa jaringan dalam pusingan akhir di Russia 2018 setakat ini -- yang menyaksikan kedua-dua pasukan diejek ketika keluar padang.

Lantas, ia menjadi tuntutan terhadap barisan pimpian Didier Deschamps itu untuk beraksi lebih baik ketika menentang Argentina yang diketuai Lionel Messi, Sabtu ini.

Namun, Kante percaya situasi dan pihak lawan perlu dipersalahkan dalam pertemuan dengan Denmark, memandangkan kedua-dua pasukan berpuas hati untuk mencatat seri dan mara.

"Saya fikir kami boleh melakukan yang lebih baik lagi dan kami akan bertambah baik dalam perlawanan seterusnya," kata tonggak Chelsea itu. "Kami semua sedar ia adalah perlawanan istimewa ketika menentang Denmark kerana kita tahu apa yang diperlukan adalah seri.

"Kami bermain menentang sebuah pasukan yang sangat teratur, sangat baik bertahan, tempo agak lambat dan itulah sebabnya kami bermain seperti ini tetapi kami boleh melakukan lebih baik.

"Kualiti permainan kadang-kadang bergantung kepada pihak lawan. Denmark adalah permainan khas. Kami boleh memperbaiki dan menjadi lebih baik dan kami akan membuat persiapan terbaik.

"Di atas padang, saya tidak berasakan ejekan itu ditujukan kepada kami. Ia berlaku kerana perlawanan lembab pada penghujung permainan.

"Kami memahami penyokong yang ingin melihat jaringan dan aksi menarik, begitupun ada kalanya kedua-dua pasukan memberi tumpuan kepada apa yang mereka perlukan dan kami berpuas hati menamatkan saingan di peringkat kumpulan di tangga teratas."