Bintang Tottenham, Harry Kane, tidak berselindung dengan hasrat mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Spurs, Daniel Levy, selepas mengakui sedang mempertimbangkan masa depannya di kelab itu.

Laporan di England minggu ini berkata Kane sedia meninggalkan Stadium Tottenham Hotspur selepas mengharungi musim yang sangat mengecewakan.

Kelab London utara itu di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 1-2 kepada Aston Villa semalam, dan mungkin terlepas tiket ke saingan Eropah musim depan sekiranya mereka kecundang kepada Leicester City dalam hari terakhir saingan 2020/21, Sabtu ini.





Produk akademi itu bersetuju bahawa dia berdepan detik persimpangan kariernya, Kane mengakuinya kepada bekas pertahanan England dan Manchester United, Gary Neville, di The Overlap: "Saya rasa pasti ada perbincangan yang boleh dilakukan dengan kelab. Saya mahu beraksi dalam kejohanan terbesar, dalam detik penting.

"Musim ini, saya sekadar menyaksikan Liga Juara-Juara (UCL), wakil Inggeris mempamerkan prestasi luar biasa dan ia adalah kejohanan yang saya mahu terlibat.

"Ini adalah momen dalam karier saya jadi saya harus merenung dan melihat kedudukan saya, mengadakan perbincangan yang baik dan jujur ​​dengan pengurusan. Saya harap kami dapat mengatur pertemuan itu.

"Saya pasti dia ingin menetapkan perancangannya tetapi pada akhirnya, ia terletak di tangan saya sendiri, sejauh mana perasaan saya dan apa yang terbaik buat karier saya.

"Dia sering menawarkan kontrak kepada saya. Dia bersikap adil terhadap saya, tidak pernah mendesak saya memperbaharui kontrak, jadi kami hubungan kami berjalan dengan baik.

"Sejujurnya saya tidak pasti sejauh mana perbincangan itu akan berjalan kelak. Dia mungkin mahu menjual saya! Dia mungkin berfikir, 'jika saya mendapat £100 juta (RM587.3j) daripada (hasil penjualan) anda, mengapa tidak?'. Nilai saya mungkin tidak setinggi itu dalam tempoh dua, tiga tahun akan datang.

"Saya telah berada di sini selama 16 tahun jadi saya harap kami dapat mengadakan perbualan dengan baik dan jujur."

Kane meratapi tiga kekalahan final bersama Spurs, yang merupakan naib juara EPL pada 2016-17, tetapi dia masih belum memenangi sebarang trofi dengan kelab yang disertainya pada 2004 itu.

Walaupun mengakui kekecewaan tewas dalam perlawanan besar amat pahit untuk ditelan, kapten England itu tidak rela menyoroti kerjayanya dengan kegagalan.

"Kami begitu hampir (memenangi gelaran) dan mungkin situasi akan menjadi jauh berbeza, tetapi kami gagal merealisasikannya sebagai kelab," katanya.

"Kami belum memenangi sesuatu, kami tidak dominan sedangkan anda mengatakan kami memiliki pasukan terbaik sejak sekian lama.

"Sudah pasti apabila terdengar ulasan sebegitu ia sedikit sebanyak mengganggu saya. Ia menjadi azimat untuk saya cuba membuktikan pandangan orang adalah silap dan itulah hasrat saya dalam karier. Saya tidak mahu kami dianggap hanya menyerlahkan keajaiban selama semusim sahaja.

"Apabila anda mendengar banyak perkara mengenai kelab anda, ia tidak pernah mudah. ​​Saya tahu bagaimana rasanya berusaha setiap hari, beraksi di samping bekerja keras bersama rakan-rakan -- baik dalam latihan, di gimnasium dalam usaha memenangi piala. Ia tidak menjadi kenyataan tetapi ia bukan bermaksud kami tidak segigih kelab lain."

Menurutnya lagi: "Kami menjelmakan beberapa detik yang menakjubkan, beberapa tahun yang mengagumkan untuk kelab ini jadi ada beberapa perkara positif yang terjadi tetapi profesion saya adalah untuk menang. Saya mahu menang.

"Saya tidak mahu mula menyesal ketika di penghujung karierkelak. Saya mahu menjadi yang terbaik. Saya tidak pernah memberi jaminan bahawa saya akan kekal di Spurs sepanjang karier.

"Orang mungkin melihat saya dan berkata, 'Dia sudah berputus asa untuk merebut piala'. Hakikatnya saya berasakan saya masih mempunyai karier yang panjang. Saya tidak terburu-buru, tidak terdesak untuk membuat keputusan.

"Saya rasa saya mampu menjadi lebih baik lagi, menghasilkan jaringan yang lebih baik daripada yang saya lakukan ketika ini. Saya tidak takut untuk mengatakan bahawa saya mahu menjadi yang terbaik, untuk berusaha mencapai tahap Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

"Itulah tujuan saya: memenangi piala, menjaringkan 50, 60, 70 gol semusim. Itulah piawaian yang saya tetapkan sendiri. "