Harry Kane sudah mula mengalihkan sasarannya untuk memenangi Piala Dunia bersama England tahun depan tetapi penyerang itu masih belum menetapkan sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama Tottenham.

Kapten England itu perlu menelan kekecewaan bersama rakan sepasukannya selepas The Three Lions tewas kepada 2-3 kepada Itali dalam penentuan sepakan penalti final Euro 2020 awal pagi semalam selepas perlawanan itu terikat 1-1 sepanjang 120 minit di Stadium Wembley.

Luke Shaw meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan seawal minit kedua sebelum Leonardo Bonucci kembali mengikat kedudukan buat Azzurri dalam babak kedua.

Kane menyudahkan sepakan penalti pertama pasukannya selepas gagal mencipta sebarang impak dalam perlawanan final itu.

Biarpun masih kecewa gagal menamatkan kemarau kejuaraan utama buat negaranya sejak Piala Dunia 1966, Kane kini bertekad untuk membantu England memburu gelaran di Qatar tahun depan.

"Keputusan malam tadi amat memeritkan, ia akan melukakan kami untuk tempoh yang panjang," Ciap Kane dalam Twitter.

"Tetapi kami telah melangkah dengan amat jauh dan memecahkan pelbagai batasan untuk menunjukkan bahawa ini bukan pengakhirannya.

"Kami menang bersama, kami kalah bersama dan kami akan kembali bersatu untuk Piala Dunia. Terima kasih atas segala sokongan anda sepanjang musim panas ini," katanya.


Mengenai masa depannya dengan Spurs, Kane menambah: "Sudah pasti sebagai seorang pemain, anda mahu rasa dimahukan, anda mahu disayangi, seperti yang saya rasakan.

"Saya belum ada peuang untuk melakukan perbincangan. Saya pasti kami akan dapat mengadakannya selepas Euro, saya akan mengadakan satu, dua panggilan telefon sebaik mendapat satu atau dua minggu waktu rehat."

"Harry Kane","Euro 2020","Bola Sepak","England","Spurs"