Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United, Ruud van Nistelrooy, memuji bintang Tottenham, Harry Kane, atas kemampuannya menjaringkan gol.

Kane telah pun merangkul dua anugerah Kasut Emas dalam dua musim Liga Perdana Inggeris berturut-turut di samping menyumbang gol ke-10 buat England ketika berdepan Malta, Jumaat lalu.

Van Nistelrooy, yang membintangi United dan Madrid dalam kariernya sebelum ini, menghamburkan pujian terhadap Kane.

"Bagi saya, Harry Kane tampak seperti seorang yang profesional. Dia bekerja keras bagi mencapai tahap maksimum dan membuktikannya di atas padang," Van Nistelrooy memberitahu Mirror.

"Dia seorang pemain yang hebat buat Spurs, dia turut memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik di samping mempunyai keupayaan menjaringkan gol.

"Dia pemain jersi no.9 yang sebenar -- seorang penyerang yang kuat dan sering menjadi fokus utama ketika melakukan serangan."

Dua gol berdepan Malta memastikan England mengekalkan jurang dua mata di persada Kumpulan F dalam aksi kelayakan Piala Dunia menjelang perlawanan berdepan pencabar, Slovakia, awal pagi esok.

Kagum dengan kualiti kepimpinan yang dimiliki Kane, Van Nistelrooy berkata dia akan menjadikan pemain itu sebagai kapten England.

"Saya dimaklumkan bahawa dia amat popular dalam kalangan rakan sepasukan lain, jadi saya tidak teragak-agak untuk menjadikan dia sebagai kapten."