Tottenham mengesahkan senarai pemain mereka menjelang musim depan dengan pemain yang menjadi sasaran Manchester City, Harry Kane, mengekalkan jersi nombor 10.

Kane telah menyarung jersi nombor 10 sejak musim 2015-16 tetapi kapten England itu kini kelihatan berhajat untuk meninggalkan kelab berkenaan.

Dia masih memiliki baki kontrak selama tiga tahun bersama Tottenham tetapi juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), City, meletakkan pemenang Anugerah Kasut Emas itu sebagai sasaran utama mereka selepas berhasil mengikat Jack Grealish daripada Aston Villa.

Pep Guardiola telah menegaskan minatnya untuk menandatangani Kane seandainya keadaan mengizinkan walaupun pengurus City itu menyedari keputusannya terletak di tangan Tottenham.

Laporan pada Khamis lalu berkata Kane -- yang akan mula menyertai sesi latihan Spurs hari ini -- akan menjadi subjek kepada tawaran kedua yang akan dikemukakan City bernilai sekitar £150 juta (RM877.55 juta).

Namun, di sebalik ketidakpastian mengenai masa depannya, Kane diumumkan sebagai sebahagian daripada barisan pemain Spurs dan menerima nombor jersi bagi musim depan.

Dia akan kekal menyarung jersi nombor 10 manakala Bryan Gil, yang tiba daripada Sevilla menerusi pertukaran dengan Erik Lamela, akan menggunakan nombor 11.

Skuad kendalian Nuno Esprito Santo itu akan memulakan kempen EPL musim ini dengan bertemu City hujung minggu ini tetapi masih belum dapat diputuskan sama ada Kane akan diturunkan dalam perlawanan itu atau tidak.