Harry Kane kecewa di atas kekalahan Tottenham Hotspur di tangan Liverpool dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah tetapi percaya mereka akan kembali lebih kuat tahun depan.

Kane dipilih oleh Mauricio Pochettino untuk berdepan Liverpool awal pagi semalam walaupun direhatkan sejak April lalu akibat kecederaan buku lali.

Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti pada minit kedua dan jaringan babak akhir Divock Origi setelah masuk selaku pemain gantian membolehkan The Reds menang 2-0 dan meraih kejuaraan Piala Eropah buat kali keenam.

Kane bergelut untuk memberikan impak dengan hanya melakukan 11 hantaran dan 26 sentuhan serta satu percubaan ke pintu gol walaupun beraksi selama 90 minit.

Namun, kapten England itu berterima kasih kepada peminat Spurs yang mempertahankan pasukan dan Kane berjanji mereka akan bangkit daripada kekalahan dalam penampilan pertama dalam final Liga Juara-Juara itu.

"Kecewa kami gagal menjalankan tugas. Kami akan belajar daripadanya dan kembali lebih kuat tahun depan," katanya.

"Terima kasih kepada peminat kami di atas sokongan anda di laman sendiri serta lawan musim ini. Anda sangat hebat."

Kane berharap dapat melupakan kekecewaan di Madrid apabila mengetuai England mengharungi pusingan akhir Liga Negara-Negara UEFA.

Skuad The Three Lions, yang kini mengejar kejuaraan pertama sejak menjulang Piala Dunia 1966, bakal berdepan Belanda dalam separuh akhir.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu akan menentang sama ada Switzerland atau Portugal dalam final sekiranya melepasi ujian kelompok empat terakhir.