Sepertimana berita perletakan jawatan Azmi Mohamed mengejutkan barisan kejurulatihan, seluruh pemain skuad The Fighters turut merasai senario sama.

Begitupun, kapten, Shukor Adan, tetap menghormati keputusan Azmi tetapi pada masa sama tidak mahu rakan sepasukan hilang fokus menjelang pertemuan Liga Super menentang Kelantan malam ini.

"Ketika latihan, kami tidak ada nampak sebarang masalah di antara pemain dan jurulatih.

"Sebenarnya, kami tidak tahu cerita sebenarnya. Jadi, semalam petang ketika bermulanya latihan, perkara ini berlaku," jelas Shukor.

Mengulas mengenai kemampuan Kelantan, Shukor berpandangan lawan tetap mempunyai kualiti, apatah lagi dibarisi pemain berpengalaman, tambahan pula ada dalam kalangan mereka pernah menyarung jersi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, kelebihan bermain di laman sendiri pastinya jadi sandaran utama Felda United, apatah lagi mereka belum tumpas dalam dua aksi di gelanggang keramat, Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Pada masa sama, momentum juga lebih memihak kepada Felda United kerana Kelantan hanya dapat bermain satu perlawanan selepas dua lagi aksi mereka sebelum ini ditunda.

"Saya berharap pemain akan terus beri komitmen sepertimana kami lakukan ketika berdepan PKNS FC dan Kedah. Kami tidak boleh buang mata lagi kerana kedudukan pasukan lain agak dekat," tambahnya.