TOTTENHAM 1 MAN CITY 0

Pep Guardiola memuji Jack Grealish atas kemunculan pertamanya yang luar biasa, tetapi pengurus Manchester City mengakui pasukannya tidak cukup klinikal dalam kekalahan 0-1 kepada Tottenham, awal pagi tadi.


Son Heung-min menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam separuh masa kedua biarpun Spurs tempang tanpa penyerang utama, Harry Kane, untuk mengalahkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Grealish beraksi sepanjang perlawanan dengan melengkapkan 89.6 peratus hantarannya dan mencipta dua peluang.

Dia juga memiliki tiga percubaan dengan satu daripadanya tepat ke sasaran.

Justeru, Guardiola gembira dengan apa yang dilihatnya daripada bintang barunya itu yang dikasari lima kali -- paling banyak ke atas pemain City dalam pertandingan liga sejak dialami Raheem Sterling pada September 2018.





"Dia sangat berbahaya berhampiran kotak penalti, ketika kami memiliki bola dan dia selalu memiliki hantaran tambahan," kata Guardiola dalam sidang media pasca perlawanan ketika ditanya tentang prestasi Grealish.

"Dia membuat kemunculan pertama yang luar biasa dan ia akan menjadi sangat mustahak buat kami. Saya mengucapkan tahniah kepadanya atas keperibadian untuk terus mencuba hingga akhir wisel."

Pep Guardiola belum kalah dalam 11 perlawanan liga pembukaan terakhirnya -- rekod cemerlangnya bermula 2009-10 -- selepas ditewaskan 0-1 kepada Numancia ketika mengendalikan Barcelona pada 2008-09.

City menghasilkan 18 percubaan tetapi terus buntu, ketumpulan di depan gawang itu meningkatkan lagi tekanan buat mereka untuk menandatangani Kane daripada pencabar berkenaan sebelum tarikh akhir perpindahan.

Begitupun, Guardiola gembira dengan sebagian besar yang dilihatnya ketika ini, lebih-lebih lagi beberapa pemainnya baru saja kembali berlatih selepas komitmen antarabangsa.

"Kami bermula dengan sangat baik, satu-satunya masalah adalah kami melepaskan beberapa penguasaan bola-- kami tidak bagus dalam hal itu ini, kami tidak cukup baik -- kami kehilangan bola akibat beberapa kesilapan mudah sebab itulah ia lebih sukar," katanya kepada Sky Sports.

"Secara umumnya, berdasarkan statistik kami memang berhasrat untuk mencipta peluang. Sayangnya, kami tidak cukup klinikal di depan gawang lalu kami tewas dalam perlawanan ini."