Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, nyata berpuas hati dengan karektor yang dipamerkan pemainnya ketika membelasah Melaka United 7-0 dalam aksi Liga Super di Larkin, semalam.

Mora mengakui ia penting buat JDT segera bangkit dalam perlawanan itu selepas kekalahan 2-3 kepada kelab Filipina, Global FC, dalam saingan Piala AFC minggu lalu.

Katanya, aksi yang ditunjukkan berdepan Melaka membuktikan JDT masih berada di landasan tepat untuk mencabar dan mempertahankan kejuaraan Liga Super.

"Kami masih pasukan terbaik dalam Liga Super. Kami masih rapat dengan tangga teratas.

"Kami ada perlawanan di depan, menentang Kelantan, dan jika menang, kami akan berada di tangga teratas. Saya rasa kami tidak bagus (tetapi) kami cemerlang."

Fokus Mora selepas ini adalah untuk pasukannya meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan Kelantan dalam aksi Liga Super, Rabu ini.

Dalam pada itu, jurulatih Melaka, Eric Williams, mengakui pasukannya perlu melakukan perubahan ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bulan depan dalam usaha memastikan mereka kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai pemain, kami masih perlu menamatkan pusingan pertama. Saya percaya kami akan kekal dalam liga ini tetapi perubahan mesti dilakukan.

" (Tetapi) jika ini kualiti pemain yang ada, secara asasnya ia tidak cukup," katanya.

Setakat ini, kemenangan JDT ke atas Melaka adalah rekod gol paling banyak dihasilkan dalam saingan liga musim ini, juga memegang perbezaan jaringan paling besar.

Pendahulu baru liga, Pahang, pernah melakukan enam jaringan ketika menewaskan Pulau Pinang pada 18 Februari lalu.