West Ham membuatkan Liverpool berasa gentar sehingga sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium London awal pagi tadi, kata pemain tengah The Hammers, Mark Noble.

The Reds meraih pendahuluan menerusi jaringan Sadio Mane yang dilihat wajar dibatalkan susulan kedudukan James Milner yang berada di posisi ofsaid sebelum melakukan hantaran ke tengah.

West Ham pantas menyamakan kedudukan dan tandukan bebas Declan Rice hampir memberikan The Hammers kelebihan sebelum rehat sambil Noble turut berpeluang menyumbat gol di lewat permainan.

Divock Origi juga berpeluang memberikan gol kemenangan buat Liverpool dalam waktu kecederaan, namun Noble memuji persembahan daripada anak buah Manuel Pellegrini itu yang bangkit selepas melalui tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.

"Januari adalah bulan buruk buat kami," kata Noble.

"Kami bertahan dengan baik dan hampir menang awal pagi tadi. Anda tidak boleh menentang Liverpool secara terbuka. Anda perlu membentuk pasukan dan menghalang mereka.

"Kami menakutkan mereka. Anda perlu melakukannya apabila berdepan pasukan besar.

"Kami kecewa dalam babak pertama kerana gol pembukaan jelas melibatkan situasi ofsaid. Kami meraih jaringan hasil daripada situasi bola mati tetapi gagal menambah gol kedua."

Liverpool turun tanpa Trent Alexander-Arnold, Joe Gomez dan Dejan Lovren akibat kecederaan sehingga menyebabkan Milner terpaksa mengisi kekosongan bek kanan sambil Jordan Henderson dan Georginio Wijnaldum turut direhatkan.

Bek tengah The Reds, Virgil Van Dijk, sedar perubahan di barisan bawah telah mengganggu Liverpool tetapi tiada alasan untuk meraih dua keputusan seri 1-1 berturut-turut, sekali gus meletakkan Manchester City di puncak liga sekiranya mereka menewaskan Everton pada awal pagi Khamis ini.

"Ia sukar tetapi kami bertahan dengan baik. Ia seharusnya menjadi lebih bagus," ujar Van Dijk.

"Ia sudah berlaku. Kami harus meneruskan cabaran.

"Situasi bola mati merupakan kekuatan West Ham dan mereka banyak berlatih untuknya. Apabila anda membariskan empat orang pertahanan tanpa sebarang perubahan, ia mungkin akan memudahkan. Namun, kami mempunyai cukup kualiti untuk menghadapinya.

"Apa yang boleh kami lakukan? Kami hadapi perlawanan demi perlawanan. Kami masih di puncak liga. Anda perlu menikmati tekanan. Anda juga boleh beraksi tanpa hala tuju. Kami masih bersaing untuk kejuaraan dan terus mencuba."