Ejen kepada Giorgio Chiellini berkata pihaknya sedang menunggu Juventus untuk membuka perbincangan mengenai kontrak pemain itu.

Chiellini, yang akan berusia 37 tahun bulan depan, kini dalam status ejen bebas selepas kontraknya bersama Juventus tamat tempoh awal bulan ini.

Pertahanan tengah veteran itu hanya menumpukan untuk memenangi Euro 2020 sepanjang beberapa bulan lalu.

Ramai menyangkakan Chiellini akan melanjutkan tempohnya bersama Old Lady dalam muism 2021-22 tetapi ejennya, Davide Lippi, mendedahkan masih belum ada sebarang perbincangan dimulakan dan mereka bersedia untuk mempertimbangkan tawaran daripada kelab lain.

"Ia memerlukan dua pihak untuk menandatangani kontrak," katanya kepada Radio Radio.

"Giorgio menyertai Euro dan fokus secara eksklusif buat kejohanan itu. Tiada sebarang masalah dengan Juventus, kami katakan yang kami akan bertemu tidak lama lagi dalam musim panas ini tetapi kami masih belum duduk berbincang mengenai pembaharuan kontrak ini."

Mengenai tawaran daripada pasukan lain, Lippi menambah: "Mereka perlu memberikan tawaran. Setakat hari ini, masih belum ada pasukan (kemuka tawaran). Kami masih menantikan Juventus menghubungi kami dan kemudian kami boleh duduk mengadakan perbincangan."